B. Malaysia

BAHAGIAN VIII

MENGAMBIL BEKERJA WANITA

34. Larangan kerja malam.

(1) Kecuali menurut peraturan-peraturan yang diperbuat di bawah Akta ini atau apa-apa pengecualian diberikan di bawah proviso kepada subseksyen ini maka tiada majikan boleh memerlukan mana-mana pekerja wanita untuk bekerja dalam mana-mana kegiatan perusahaan atau pertanian di antara waktu pukul sepuluh malam dan waktu pukul lima pagi ataupun memulakan kerja pada hari itu tanpa mempunyai suatu tempoh sebelas jam berturut-turut bebas daripada kerja tersebut:

Dengan syarat bahawa Ketua Pengarah bolehlah, atas permohonan dibuat kepadanya dalam mana-mana hal tertentu, mengecualikan secara bertulis mana-mana pekerja wanita atau golongan pekerja wanita daripada mana-mana sekatan dalam subseksyen ini, tertakluk kepada apa-apa syarat yang ia kenakan.

(2) Mana-mana orang:

(a) yang terlibat oleh mana-mana keputusan yang dibuat atau syarat yang dikenakan di bawah proviso kepada subseksyen (1); dan

(b) yang tidak puas hati dengan keputusan atau syarat tersebut, bolehlah dalam masa tiga puluh hari daripada keputusan atau syarat tersebut diberitahu kepadanya merayu secara bertulis daripadanya kepadaMenteri.

(3) Dalam memutuskan apa-apa rayuan yang dibuat kepadanya di bawah subseksyen (2), Menteri bolehlah membuat keputusan atau perintah ke atasnya, termasuk pemindaan atau pengubahan mana-mana syarat yang dikenakan atau pengenaan apa-apa syarat selanjutnya, sebagaimana yang adil dan keputusan atau perintah tersebut hendaklah muktamad.

35. Larangan kerja bawah tanah.

Tiada pekerja wanita yang boleh diambil bekerja dalam mana-mana kerja bawah tanah.

36. Larangan pekerjaan oleh Menteri.

Walau apa pun peruntukan-peruntukan Bahagian ini Menteri bolehlah melalui perintah melarang atau membenarkan pengambilan pekerja-pekerja wanita dalam keadaan-keadaan tertentu atau di bawah syarat-syarat tertentu sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah tersebut.