B. Malaysia |
|
BAHAGIAN VII KONTRAKTOR DAN PRINSIPAL 33. Tanggungan prinsipal dan kontraktor terhadap upah. (1) Sekiranya seseorang prinsipal dalam masa atau bagi maksud maksud perdagangan atau pemiagaannya, berkontrak dengan kontraktor bagi perlaksanaan oleh atau di bawah kontraktor kesemua atau mana-mana bahagian kerja yang diusahakan oleh prinsipal dan apa-apa upah adalah terhutang kepada mana-mana pekerja oleh kontraktor atau mana-mana subkontraktor di bawah kontraktor bagi kerja yang dilakukan dalam masa melaksanakan kontrak itu, prinsipal dan kontraktor dan mana-mana subkontraktor tersebut (yang bukannya majikan) hendaklah secara bersesama dan masing-masing bertanggung dengan majikan untuk membayar upah-upah tersebut seolah-olah pekerja itu telah diambil bekerja serta-merta oleh prinsipal dan oleh kontraktor dan mana-mana subkontraktor tersebut: Dengan syarat bahawa— (a) dalam hal suatu kontrak bagi kerja binaan prinsipal hendaklah tidak bertanggung bagi pembayaran upah di bawah subseksyen ini melainkan ia juga adalah kontraktor binaan atau pemaju perumahan; (b) prinsipal dan kontraktor dan mana-mana subkontraktor (yang bukannya majikan), hendaklah tidak bertanggung kepada mana-mana pekerja di bawah subseksyen ini bagi lebih daripada upah-upah yang terhutang kepadanya bagi mana-mana tiga bulan berturut-turut; dan (c) pekerja itu telah membawa langkah pembicaraan terhadap prinsipal bagi mendapatkan upah-upahnya atau membuat aduan kepada Ketua Pengarah di bawah Bahagian XV dalam masa sembilan puluh hari daripada tarikh di mana upah-upah itu menjadi kena dibayar oleh majikannya menurut peruntukan-peruntukan bagi pembayaran upah yang terkandung dalam Bahagian III. (2) Mana-mana orang, selain daripada majikan, yang telah membayar upah di bawah seksyen ini kepada pekerja bagi mana-mana majikan bolehlah membawa tindakan sivil terhadap majikan itu bagi mendapatkan jumlah upah yang dibayar sedemikian itu.
|
B. Malaysia |